Friday, September 9, 2011

Skit : Lerai Dendam

Fadhli membrek kereta dengan mengejut sesampainya dia di hadapan firma guaman milik Hisham. Bergegas dia turun, melilau di dalam bangunan itu buat seketika, mencari-cari seseorang.

Kelibat Zahrah yang sedang berbincang dengan Hisham lantas membuakkan lagi hatinya menuju ke arah mereka. Zahrah tergamam apabila Fadhli berdiri di hadapannya.

“Ff… Fadhli…” gugup dia menuturkan nama yang senantiasa mekar di hatinya itu, meskipun sudah lebih 5 tahun mereka tidak berjumpa.

Sebetulnya, Fadhli tidak menyangka Hisham akan bertindak di luar batas persahabatan mereka yang terbina semenjak menengah rendah itu. Dianggapnya Hisham sebagai seorang saudara sedarah yang tidak mengenang budi. Langsung tidak!

Bukan sengaja Fadhli tidak menjenguk Zahrah sepanjang tempoh 5 tahun itu. Bukan niatnya membiarkan kekasih hatinya berendam tangis hampir setiap hari kerana mengenangkan ke mana menghilangnya Fadhli. Tidak sepicing hasrat hatinya!

Fadhli koma dalam pelarian; melarikan diri dari diburu oleh dendam keramat sebuah kongsi gelap yang pernah hampir dijahanamkannya bersama-sama Hisham satu ketika dahulu. Dan dalam pelarian itu pula, kerana termakan budi, akhirnya dia hampir menemui ajal akibat ditembak tatkala misi menyelamat ketua organisasi yang terpaksa disertainya. Dia dianggap hero, meskipun perancangannya untuk mengahwini Zahrah melebur bersama-sama leburnya hati Zahrah tatkala menanti saban waktu. Sudahlah keduanya yatim piatu, takdir pula seakan mempermainkan cinta mereka.

Sehinggalah ke saat ini, penipuan Hisham yang mengatakan Fadhli telah mati kepada Zahrah tersimpan kemas bersama perjanjian kotor Hisham dengan kongsi gelap yang pernah melafazkan ikrar untuk memburu kedua-dua sahabat itu akibat kepentingan sendiri. Semuanya kerana Zahrah telah mencuri hatinya, hati yang pernah bersama-sama Fadhli untuk melindungi gadis berkulit gebu itu. Meski hampir mustahil bagi Hisham untuk mengubah pendirian Zahrah, dia tidak pernah bosan mencuba. Halangan kedua orang tuanya yang mementingkan darjat bukanlah bebanan baginya. Tidak sama sekali.

Dan kini, dendam itu kembali menuntut harga pembalasan – nyawa Zahrah dalam bahaya!

“Jom balik.” pendek balas Fadhli, lantas merenggut tangan kekasihnya dan berpaling tanpa sedikit pun anak matanya melihat Hisham.

Terpempan dengan kehadiran dan aksi Fadhli, tangan Hisham spontan cuba menghalang. Digenggamnya bahu Fadhli.

“Apa kau buat ni?!”

BUK!!!

Sebuah peninju tepat ke muka Hisham. Terbungkam dia ke lantai. Terkejut, dia segera memandang ke arah Fadhli yang kelihatan tenang, namun api kemarahan yang mengombak di dada sahabatnya itu kelihatan jelas di mata Hisham. Dia merasakan cecair panas mengalir di bibirnya. Disekanya dengan hujung ibu jari, menggeleng lemah. Pembohongannya kini terburai. Kudratnya terasa lemah. Dia juga tahu bahawa orang suruhannya kini menjadikan Zahrah sebagai alasan untuk kembali memburu dendam terhadap Fadhli.

Fadhli tidak bersuara. Terus sahaja dia membuka kembali langkah menuju ke pintu keluar. Zahrah yang masih tergamam dengan kejadian tadi tidak mampu melontarkan apa-apa butir bicara.

“Fad…. Fad!”

Panggilan Zahrah, meskipun terdengar di telinganya, langsung tidak diendahkan lelaki itu. Yang penting, dia harus segera membawa Zahrah keluar dari situ.

“FADHLI!!”

Genggaman tangan melonggar setelah Zahrah meninggikan suara terhadapnya. Segera dia berpaling menghadapi kekasihnya. Ada kerutan di dahi Zahrah. Mata keduanya bertentang.

Sebetulnya Zahrah masih terkejut dengan insan yang berdiri di hadapannya itu. Dia tahu, ini bukan mimpi. Rindu yang membekam tertahan-tahan di hatinya. Dia masih keliru dengan apa yang berlaku.

“Ap… apa dah jadi dengan awak berdua…” perlahan-lahan ayat itu terpacul dari mulut Zahrah.

Fadhli masih tenang. Dipejamkan mata, menghela sebuah nafas berat.

“Berhenti.”

Mata Zahrah membundar mendengar suara Fadhli. Ya, masih orang yang sama. Namun perkataan yang terbit dari lisan Fadhli menyapa persoalan di hatinya.

“Apa?” keliru, Zahrah menyoal.

“Berhenti kerja sini.”

Zahrah terkejut. Permintaan itu sukar dihadamnya lantaran dia sudah banyak terhutang budi dengan Hisham. Hishamlah orangnya yang mendorong kembali semangatnya untuk bekerja, yang mengembalikan rasionalnya dengan kehidupan selepas ‘kematian’ Fadhli.

“Ss… saya tak faham ken-“

“I SAID QUIT IT!” meninggi suara Fadhli. Lantas menghembus desah.

“Saya tahu apa yang saya mintak dari awak. Berhentilah. Dan kembali semula ke rumah Kak Anis. Saya akan cari awak di sana.”

Fadhli berlalu meninggalkan Zahrah dengan berbagai persoalan. Dan jawapan.

No comments:

Post a Comment