Wednesday, October 5, 2011

BERPATAH ARANG BERKERAT ROTAN

lu: lupakan aku, kau carilah yang lain, bina semua dari mula. yang pastinya dengan yang baharu.
gua: mana mungkin aku boleh mulakan semuanya atas sesuatu yang telah aku bina.
lu: tapi kau yang memusnahkan semuanya bukan?
gua: ya, itu silapnya. salah langkah dan akhirnya menjebak leher sendiri pada jerat yang aku sendiri bentangkan.
lu: nah. itulah balasannya. cukup sampai disini dan tiada sekali lagi. tiada!
gua: kejamnya keputusan.
lu: kau lebih kejam.
gua: tiada satu ruang langsung untuk semuanya semula?
lu: tamat.

*****

lu: tapi kita masih boleh berkawan?
gua: kawan?
lu: ya. kawan! bila kau perlukan aku, aku akan sentiasa ada untuk kau.
gua: jadi kita ini apa? sekarang ini kita bagaimana? cuma kawan?
lu: ya. kawan.
gua: cuma kawan? apa perasaanmu padaku sekarang?
lu: aku sayang kau. tapi sekadar kawan. kawan baik.
gua: tak perlulah jika kita sekadar kawan. mungkin kita tak perlu jadi kawan, teman mahu sahabat.
lu: kenapa?
gua: jika sekadar kawan, aku tak ubah sama seperti teman-temanmu yang lain. seperti dia, dia itu dan yang itu (menyebut beberapa nama). sedangkan aku cuba untuk kembali menjadi yang istimewa lebih dari sekadar seorang teman.

*******

menerima hakikat itu bukanlah suatu yang mudah. memaafkan juga bukanlah mudah. keduanya mudah diatur dihujung lisan. namun selarinya lisan dan penerimaan pada hati juga perbuatan tidak dapat dipastikan.

teruskanlah. teruskan kita menipu rasa hati kita sendiri.



Wednesday, September 28, 2011

ANGIN MALAM MENDERU RINDU

angin malam yang menderu lembut,
khabarkan berita ini padanya;
kuntuman rindu yang berputik seminggu yang lalu,
kini makin mekar menguntum,
putik-putik cinta bertunas kecil,
semuanya kini merah kelopak sayangnya.

angin malam yang menderu lembut,
beritahu padanya juga;
ada disini yang sedang mabuk rindu,
lama sudah menipu rasa hati sendiri,
dan disini mengaku;
ya aku rindu.

angin malam yang menderu lembut;
titipkan pesanan ini padanya;
disini terlalu kelu untuk meluah lisan rindu padanya,
cuma kiasan rasa hati rasa rindu,
yang tercoret jujur,
dari lisan hati disini yang dibadai rindu,
bila angin malam menderu lembut.

Tuesday, September 27, 2011

kehadapan kekasihku yang tertunda (i)

1. kehadapan kekasihku yang tertunda; saat kau lelap, tanganku di tubuhmu kejap dan akan kubawa terbang bersama mimpi ke dalam mimpi.

2. kehadapan kekasihku yang tertunda; embun lagikan tak berdaya, kering dalam matamu mungkin, dan yang gugur basah kerana lelahnya kita.

3. kehadapan kekasihku yang tertunda; senyumlah sayang, akan ku memandangmu dari jauh, dalam sekadar mimpi-mimpi, sambil mungkin menangis sendiri.

4. kehadapan kekasihku yang tertunda; takdir itulah algojo yang memancung cinta kita, darahnya kekal mewangi, tetap mengalir hingga ke syurga.

5. kehadapan kekasihku yang tertunda; simpan saja surat cintamu, baris-baris sajak itu tiada yang akan membacanya lagi, tidak waima aku sendiri.

6. wahai kekasihku yang tertunda; apalah lagi yang bisa kuperbuat, hidup melarat dengan mengemis cintamu, yang hanya sekadar ada, yang sekadar sisa.

7. wahai kekasihku yang tertunda; malam-malam serupa ini, aku mengingatimu bak sungai di syurga tak berpenghuni. tanpamu, ia tak berseri bahkan sunyi.

8. wahai kekasihku yang tertunda; beredarlah jauh dari janji-janji yang mungkin bisa kita materai, kerana ia takkan dapat lagi kau gapai.

9. wahai kekasihku yang tertunda; kita bertemu hanya sekadar utk menjauh kembali, bagai dua jarum jam yang perlahan menghambat, bahkan masa turut membenci.

10. wahai kekasihku yang tertunda; kita cuba mencipta kenangan, namun, bak mimpi, ia kabur dan tak pernah bertahan.


Siapakah kekasihmu yang tertunda itu? Dia mungkin gadis penjual tiket wayang di pawagam yang sering kamu kunjungi, atau yang berselisih bahu dengan kamu tika berjalan di pasar malam, atau jejaka bermata biru yang kamu temui di simposium kerjamu bahkan kekasih tertunda mungkin saja yang duduk di sebelah kamu di dalam tren ketika menuju ke mana-mana! Siapa saja bisa menjadi kekasih tertunda. Tetapi kita tak akan pernah tahu siapa dia, malahan tiada siapa pun yang tahu. Namun yang pasti, dialah seseorang yang kita berharap akan jadi kekasih kita di suatu hari nanti, biarpun kita tak pernah menyedarinya di ketika ini, tapi, takdir tidak akan mengizinkan itu terjadi. 

Andai takdir Tuhan ada beberapa versi lain di lembar luh-mahfuzNya itu.........

Friday, September 9, 2011

hikayat bulan dan kupu-kupu malang

denting hujan dalam gelap dan lirih angin yang menderap sayap,
aku kira takkan upaya menghalang aku terbang menujumu sayang,

udara sempit menyempit,
mengabu-abu di dalam dada,

menderulah aku si kupu-kupu sebermula di bayang senja,
yang jingganya sendiri adalah engkau,
jauh ke semesta langit dengan segala ketabahan,
aku terbang dan terus bertahan,

tapi malang aku si kupu-kupu yang paling walang,
kerna sedang aku cuba meraih cahayamu,
kau hilang di balik awan di kepung bintang,
lantas kita pun tak lagi saling merenung,
dan aku pun takkan pernah sampai lagi padamu.

bila mana kau satu-satunyanya bulan yang aku ada,
maka dengan itu, terkutukkah aku kerana tamakkan cahayamu?

ah,

aku yang lupa mengukur sayap sendiri,
aku yang lupa kau terlalu tinggi,
sayap ku sudah patah,
semangat pudar dan merebah,

jauh di ufuk langit berbega muram,
aku menjatuh dan terus melayang,
di kedalaman laut aku tenggelam,
berbalam-balam jasadku perlahan menghilang,

dan cahaya bulan ikut beralun tenang,
pada tiap-tiap garis sinarnya bagai tangis,
menembus jauh ke dasar laut yang paling suram,
terpantul mulus pada sebuah makam,
dengan nisan berepitaph hitam,

"di sini abadinya sang kupu-kupu yang patah sayapnya, 
dan sesungguhnya dia merindukan bulan, 
dulu, 
ketika itu,
bahkan selamanya."


tamat.

Skit : Lerai Dendam

Fadhli membrek kereta dengan mengejut sesampainya dia di hadapan firma guaman milik Hisham. Bergegas dia turun, melilau di dalam bangunan itu buat seketika, mencari-cari seseorang.

Kelibat Zahrah yang sedang berbincang dengan Hisham lantas membuakkan lagi hatinya menuju ke arah mereka. Zahrah tergamam apabila Fadhli berdiri di hadapannya.

“Ff… Fadhli…” gugup dia menuturkan nama yang senantiasa mekar di hatinya itu, meskipun sudah lebih 5 tahun mereka tidak berjumpa.

Sebetulnya, Fadhli tidak menyangka Hisham akan bertindak di luar batas persahabatan mereka yang terbina semenjak menengah rendah itu. Dianggapnya Hisham sebagai seorang saudara sedarah yang tidak mengenang budi. Langsung tidak!

Bukan sengaja Fadhli tidak menjenguk Zahrah sepanjang tempoh 5 tahun itu. Bukan niatnya membiarkan kekasih hatinya berendam tangis hampir setiap hari kerana mengenangkan ke mana menghilangnya Fadhli. Tidak sepicing hasrat hatinya!

Fadhli koma dalam pelarian; melarikan diri dari diburu oleh dendam keramat sebuah kongsi gelap yang pernah hampir dijahanamkannya bersama-sama Hisham satu ketika dahulu. Dan dalam pelarian itu pula, kerana termakan budi, akhirnya dia hampir menemui ajal akibat ditembak tatkala misi menyelamat ketua organisasi yang terpaksa disertainya. Dia dianggap hero, meskipun perancangannya untuk mengahwini Zahrah melebur bersama-sama leburnya hati Zahrah tatkala menanti saban waktu. Sudahlah keduanya yatim piatu, takdir pula seakan mempermainkan cinta mereka.

Sehinggalah ke saat ini, penipuan Hisham yang mengatakan Fadhli telah mati kepada Zahrah tersimpan kemas bersama perjanjian kotor Hisham dengan kongsi gelap yang pernah melafazkan ikrar untuk memburu kedua-dua sahabat itu akibat kepentingan sendiri. Semuanya kerana Zahrah telah mencuri hatinya, hati yang pernah bersama-sama Fadhli untuk melindungi gadis berkulit gebu itu. Meski hampir mustahil bagi Hisham untuk mengubah pendirian Zahrah, dia tidak pernah bosan mencuba. Halangan kedua orang tuanya yang mementingkan darjat bukanlah bebanan baginya. Tidak sama sekali.

Dan kini, dendam itu kembali menuntut harga pembalasan – nyawa Zahrah dalam bahaya!

“Jom balik.” pendek balas Fadhli, lantas merenggut tangan kekasihnya dan berpaling tanpa sedikit pun anak matanya melihat Hisham.

Terpempan dengan kehadiran dan aksi Fadhli, tangan Hisham spontan cuba menghalang. Digenggamnya bahu Fadhli.

“Apa kau buat ni?!”

BUK!!!

Sebuah peninju tepat ke muka Hisham. Terbungkam dia ke lantai. Terkejut, dia segera memandang ke arah Fadhli yang kelihatan tenang, namun api kemarahan yang mengombak di dada sahabatnya itu kelihatan jelas di mata Hisham. Dia merasakan cecair panas mengalir di bibirnya. Disekanya dengan hujung ibu jari, menggeleng lemah. Pembohongannya kini terburai. Kudratnya terasa lemah. Dia juga tahu bahawa orang suruhannya kini menjadikan Zahrah sebagai alasan untuk kembali memburu dendam terhadap Fadhli.

Fadhli tidak bersuara. Terus sahaja dia membuka kembali langkah menuju ke pintu keluar. Zahrah yang masih tergamam dengan kejadian tadi tidak mampu melontarkan apa-apa butir bicara.

“Fad…. Fad!”

Panggilan Zahrah, meskipun terdengar di telinganya, langsung tidak diendahkan lelaki itu. Yang penting, dia harus segera membawa Zahrah keluar dari situ.

“FADHLI!!”

Genggaman tangan melonggar setelah Zahrah meninggikan suara terhadapnya. Segera dia berpaling menghadapi kekasihnya. Ada kerutan di dahi Zahrah. Mata keduanya bertentang.

Sebetulnya Zahrah masih terkejut dengan insan yang berdiri di hadapannya itu. Dia tahu, ini bukan mimpi. Rindu yang membekam tertahan-tahan di hatinya. Dia masih keliru dengan apa yang berlaku.

“Ap… apa dah jadi dengan awak berdua…” perlahan-lahan ayat itu terpacul dari mulut Zahrah.

Fadhli masih tenang. Dipejamkan mata, menghela sebuah nafas berat.

“Berhenti.”

Mata Zahrah membundar mendengar suara Fadhli. Ya, masih orang yang sama. Namun perkataan yang terbit dari lisan Fadhli menyapa persoalan di hatinya.

“Apa?” keliru, Zahrah menyoal.

“Berhenti kerja sini.”

Zahrah terkejut. Permintaan itu sukar dihadamnya lantaran dia sudah banyak terhutang budi dengan Hisham. Hishamlah orangnya yang mendorong kembali semangatnya untuk bekerja, yang mengembalikan rasionalnya dengan kehidupan selepas ‘kematian’ Fadhli.

“Ss… saya tak faham ken-“

“I SAID QUIT IT!” meninggi suara Fadhli. Lantas menghembus desah.

“Saya tahu apa yang saya mintak dari awak. Berhentilah. Dan kembali semula ke rumah Kak Anis. Saya akan cari awak di sana.”

Fadhli berlalu meninggalkan Zahrah dengan berbagai persoalan. Dan jawapan.

Wednesday, September 7, 2011

HUJUNG PERTEMUAN (JALAN PONTIAN - SENAI)

aku menghantar dia betul-betul dihujung jalan lebuhraya. aku tahu barang sebentar nanti dia akan hilang dari saujana mata dan bakal ditinggalakan cuma rasa berdosa atas satu khilaf aku yang didukungnya sebagai satu pengkhinanatan cinta. ya, kini padanya aku tak ubah seperti orang jijik yang mendustakan tiap satu kepercayaan yang diberinya.


gua: ini akhirnya? langsung tak ada maaf dan peluang untuk aku?
lu: aku dah maafkan kau.
gua: berikan aku peluang, untuk aku betulkan kesilapan.
lu: ah, lelaki semua sama, bila ada peluang sia-siakan!
gua: tapi kau beri peluang pada bekas kekasih kau dulu. sekarang kenapa tidak untuk aku.
lu: aku tahu kalau beri peluang, begitu juga akhirnya - sia-sia!
gua: baik. sekarang cakap yang kau tak sayang aku. kau tak cinta aku. cakap! cakaplah!
lu: ......
gua: woi, aku sayang kau! kau tahu tak aku sayang kau!
lu: sayang kau cakap? macam ni kau sayang kau cakap! jijik tahu tak? jijik! kau tamak! semua kau nak!
gua: mana semua aku nak. mana? dengan kau aku tak main-main.
lu: habis kau ingat aku main-main?
gua: baik mati kalau macam ni. elok-eloklah jalan.


*****

aku tinggalkan dia dan babak tergantung episod melankoli untuk sekian kalinya. derai airmata mengiringi tiap kata-kata dalam intonasi keras dan situasi tegang sebentar tadi. betapa aku menyesal dengan khilaf aku sendiri. betapa bodoh aku yang bertindak tanpa berfikir rasional. menyesal. benar-benar menyesal.

sumpah, aku benar-benar benci melihat titis air mata yang berderai. itulah air mata yang pernah aku hapus dari pipinya. kini aku yang merobek kantung air matanya kembali. aku pembunuh cinta yang aku pupuk dengan tangan sendiri. aku racun benih kasih tersemai dengan kebodohan aku sendiri.


SEKIAN KALI

dari sudut penjuru hati yang makin merapuh,
ada derai-derai sisa sebuah rasa cinta,
dulu bara merah warnanya mekar,
kini ronanya pucat dan detaknya lesu,
bila harapan yang aku harapkan tidak lagi menjadi nyata.

dan sekian kalinya aku berdiri ditepian jeriji hati,
yang diantara ada dua keadaan,
gembira dan kesedihan,
dan untuk kali yang keberapa,
aku terduduk disudut ini,
keadaanya sendiri yang aku tahu keputusannya.

dan belum pun sembuh parut rasa yang tinggal,
tersisa aku dengan rasa cinta yang menggamit,
namun hujung ceritanya seperti yang aku duga,
walaupun hati dan rasa ini telah tepu meranjau semuanya,
kisah perasaan hati yang klise masih pada episod lama,
pasrah dihujung cerita.

Tuesday, September 6, 2011

Skit : Seulas Kasih Nan Terpendam



"Whoa! Whoa! Jangan explain laju sangat. Aku pening." kata Reza kepada Anum.

"Mana ada laju. Kau tu yang slow." Anum membuka semula langkah yang terhenti kerana Reza tadi. Pantai yang memutih berserta deruan ombak dalam skala sederhana itu mendodoi perasaan kedua-dua sahabat karib tersebut.

"So, kiranya kau kena pastikan machine tu dah lepas QC dan segala kejadah yang lain, baru boleh run test lah? Buatnya ada something wrong?" Reza kembali mengajukan soalan seputar topik yang sedang mereka perbincangkan tadi - Anum dan professionnya.

"Boleh tak kita stop borak pasal ni?" balas Anum, juga dengan sebuah soalan kepada Reza tanpa berkalih. Matanya tertancap ke arah pulau, nun di tengah-tengah lautan membiru. Ada sesuatu yang menggamit jiwanya saat itu.

"You know, this is why aku rasa kau masih belum ada boyfriend lah, Anum... kau selalu 'matikan' a conversation without... you know... sebelum pihak yang satu lagi betul-betul faham macam mana orangnya kau ni."

Langkah gadis itu terhenti. Dia mengalihkan kepala, memandang Reza di belakangnya. Mata mereka bertentang.

"Apa maksud kau? Aku tak faham, serius."

Reza tergelak kecil. Meskipun hampir 7 tahun mereka berkenalan, Anum ada ketikanya sukar menghadam kata-kata Reza. Maklumlah, kedua-duanya berlainan citarasa dan bidang. Reza seorang editor majalah hiburan dan lebih kepada bidang seni, manakala Anum, baru sahaja memulakan pekerjaan sebagai pegawai sains di sebuah hospital swasta.

Perjalanan kisah persahabatan mereka adalah kerana bekas kekasih masing-masing. Bekas teman lelaki Anum adalah kenalan sekolah menengah Reza, meskipun tidak seakrab mana. Bekas teman wanita Reza pula adalah rakan sehostel Anum. Kedua-duanya kecundang dengan percintaan muda-mudi mereka, dikhianati.

"Semua orang tahu, kau ni jenis sukakan details tentang satu-satu perkara. But in the end, kau tak tahu apa pun yang kau nak sebenarnya. Don't you think you should loosen it up a little bit? No offense, though. Ciri-ciri pada kau tu bagus untuk kerjaya kau, tapi... aku tak nampak kesudahan social life kau." panjang lebar penerangan Reza.

Anum tidak segera menjawab. Dikuis-kuisnya pasir di hujung kaki.

"Aku... tak rasa it's necessary for me to have a boyfriend anymore. Aku dah muak dengan couple stuffs. Lagipun, macam yang kau cakap, bukannya ada lelaki yang betul-betul faham dengan aku, kan? What more sukakan aku." Anum meneruskan langkahnya setelah menghabiskan butir bicara. Apabila dirasakan Reza tidak berganjak, dia berpaling dan menggamit dengan hujung jari bersama sebuah senyuman yang cukup manis di mata Reza.

"Ada, Anum. Akulah orangnya."

Namun, kata-kata itu hanya bergema di hati Reza.